Showing posts with label medic. Show all posts
Showing posts with label medic. Show all posts

Wednesday, May 21, 2008

Kerajaan vs Swasta

Bekerjalah dengan ikhlas. Biar apapun pekerjaan kita - jangan lupa, semua itu adalah amanah Allah s.w.t. kepada kita.

Pernah jugak saya berborak pasal bakal kerja saya ni - dengan kawan2, dengan mak ayah, dan dengan adik beradik. Nak kerja dengan kerajaan ke atau dengan swasta? Sebelum ni, tak pernah pun sebenarnya saya terlintas nak kerja dengan hospital swasta. Saya ada satu mindset yang saya nak bekerja dengan kerajaan, sebab saya nak tolong rakyat. Sebab duit biasiswa yang saya dapat ni pun adalah duit rakyat.

Cuma bila saya fikir balik, pesakit hospital swasta pun rakyat juga. Dan kalau ikutkan dari segi percentage cukai yang dibayar, mungkin mereka yang di hospital swasta ini lebih banyak membayar cukai, sebab gaji mereka lebih tinggi. Jadi, duit rakyat pun duit mereka juga. Lebih2 lagi, sekarang ni kita ada macam2 insuran perubatan. Jadi, bukan orang kaya saje yang pergi ke hospital swasta, mereka dari golongan pertengahan pun mungkin dah ramai yang pilih hospital swasta.

Tapi, biarlah macam mana pun, saya rasa saya akan kerja dengan kerajaan jugak nanti. Jiwa saya lebih dekat dengan "doktor kerajaan" berbanding "doktor swasta". Jangan salah faham. Saya tidak prejudis kepada doktor swasta. Cuma, saya lebih selesa bergaul dengan pesakit2 dari golongan mereka yang miskin dan orang2 kampung. Sebab jiwa saya jiwa kampung. Saya tak rasa mereka ini mampu ke hospital swasta. Biarpun gaji mereka sikit, biarpun sumbangan mereka melalui tax tak banyak, tapi, mereka juga banyak berjasa. Petani, pesawah, dan nelayan semuanya berjasa besar kepada negara.

Pada saya, sama ada bekerja dengan kerajaan atau swasta, kedua2 nya sama je. Bergantung pada niat kita. Kalau kita bekerja ikhlas kerana Allah s.w.t. - duduklah kat mana2 pun insyaAllah berkat. Kalau bekerja di swasta sebab faktor duit yang jadi keutamaan- memang tak elok. Kalau kerja dengan kerajaan, tapi buat kerja macam melepaskan batuk di tangga - itu pun tak elok. Jadi, samada kerja di hospital kerajaan ataupun swasta, yang penting lakukan yang terbaik untuk merawat pesakit demi mendapat keredhaan Allah s.w.t. Itu yang paling penting.

p/s: Saya pernah bergurau dengan kawan saya; "jomlah masuk swasta, boleh kita join perhimpunan haram". Nampaknya, saya kena lebih berani sertai aktiviti politik - walaupun dengan nametag pegawai kerajaan ;)

Thursday, May 15, 2008

Posting Medicine di Hospital Ampang

Harini, genap lagi 10 hari sebelum saya masuk semester baru, tahun 4. Tidur, celik, tidur, celik, sekejap je masa berlalu. Memang seronok sebab nak masuk tahun klinikal, tapi risau jugak sebab persediaan macam tak cukup je.

Kelmarin, saya ada terbaca email yang dihantar oleh Proh Burhan. Antaranya pasal recommended books untuk tahun 4. Untuk posting Medicine (posting saya), buku yang disarankan ialah Oxford Handbook of Clinical Medicine tulisan Murray Longmore.

Eh, macam pernah nampak je buku ni.

Saya try check balik buku klinikal yang kakak saya dah belikan untuk saya. Memang ada pun rupanya. Alhamdulillah, satu2nya buku yang saya bawak balik (selebihnya saya tinggal dalam kotak di hostel) ialah buku tu!

Nampaknya, saya kena cuba kuatkan semangat untuk belek2 buku ni. Okay, belek dan baca.

Wednesday, May 7, 2008

Antara bijak, rajin dan berkat

Ya Allah, banyak betul rasanya belajar medic ni. Serabut jugak otak kadang-kadang. Setiap kali saya rasa letih dengan medic, saya mesti kena call abah. Nak dapatkan semangat belajar balik. Kalau nak ikutkan, belajar medic ni senang. Asalkan kita tahu menghafal, insyaAllah boleh jawab exam. Pada saya, kursus kejuruteraan atau matematik lebih payah daripada medic. What makes Medicine a tough course, is the vast amount of knowledge that we have to remember. Every single thing must be on our finger-tip.

Abah pernah cakap “dalam medic, orang yang akan berjaya ialah orang yang rajin, bukan orang yang genius”. Bila saya fikir, memang betul pun. Genius saja tak cukup. Kita perlu rajin dan konsisten belajar. Kalau genius, itu satu bonus. Mungkin dia senang faham, senang ingat. Tapi pokoknya, dia tetap kena belajar. Walaupun bijak macam mana pun otak kita, saya tak rasa yang kita boleh tahu apa saraf yang supply otot gluteus maximus tanpa kita belajar dan hafal.

Tapi bijak dan rajin bukan segalanya. Yang lebih penting, ialah keberkatan. Biarlah bijak macam mana pun otak kita, biarlah rajin macam mana pun kita, kita pasti takkan berjaya tanpa keberkatan dan pertolongan daripada Allah. Sebab itu kita perlu sentiasa berdoa. Dan doa perlu disertai dengan usaha, itu yang Allah tuntut. Allah pasti akan menolong orang yang berusaha.

Usaha, berdoa dan bertawakal. Pesan kat mak dan ayah suruh doakan kejayaan kita jugak. Sebab doa mereka lebih makbul. Apalah sangat doa saya ni kalau nak dibandingkan dengan doa mak ayah. Seribu kali doa saya pun mungkin takkan mampu menyamai keberkatan satu doa daripada ma dan abah. Begitu jugak dengan doa guru-guru. Sebab itu penting untuk kita hormat mak ayah dan guru-guru. Sama-samalah kita amalkan. InsyaAllah.

Saya sedar saya tidak sebijak abah, dan tidak serajin ma. Tapi ma abah jangan risau, insyaAllah iz akan usaha yang terbaik. Demi Islam, demi ma abah, dan demi orang-orang tersayang.

My Life as a Medical Student


6.30 – Bangun daripada tidur & solat

7.00 – Cuba untuk tak tidur tapi tertidur balik

7.30 – Bangun dan mandi

7.50 – Bertolak ke kelas

7.55 – Nak makan pagi tapi dah tak sempat

8.00 – Kelas dah start

9.00 – Tahan diri dengar lecture dan kuatkan semangat bersama Not

10.00 – Rehat dan baca paper kat Library (atau makan pagi)

10.30 – Sambung tahan diri dalam kelas

11.30 – Dah hilang focus, Not pun dah tertidur, cuba kejut Not tapi tak bangun

11.45 – Tertidur bersama Not

12.30 – Kelas sesi pagi dah habis, pergi lunch

1.30 – Solat Zohor

2.00 – Kelas sesi petang start

2.30 – Jeling-jeling Jatak kat belakang

3.00 – Cuba dengar lecture lagi

3.30 – Otak tepu dan hilang focus dalam kelas, SMS Anun jap

3.45 – Semangat balik

4.00 – Kelas baru habis

6.00 – Makan malam (makan awal dengan harapan tak mengantuk malam nanti)

7.30 – Study

9.30 – Balik hostel

10.00 – Menenangkan diri, mandi dan menenangkan diri lagi

10.30 – Study sikit lagi

11.30 – Menenangkan diri sehingga tertidur

11.45 – Mimpi

3.00 – ………………..

6.30 – The cycle goes on......

Abah, iz nak jadi doktor.....

Abah, saya dan kaklong

"Harini abah cocok adik, nati besar adik cocok abah balik"
(hari ini abah suntik adik, nanti besar adik suntik abah balik)

Teringat kata-kata abah kat saya masa saya kecik dulu. Entahlah, saya pun tak pasti apa penyakit yang menyerang saya masa tu. Tapi, mak cakap, satu badan saya jadi kuning. Jaundice ke? Saya pun tak tahu. Wallahu'alam. Alhamdulillah abah seorang doktor, jadi abah sendiri lah yang berusaha merawat saya. Abahlah yang bawak balik ubat dan sebagainya setiap kali balik kerja. Abah sendiri yang jaga, suntik, bagi makan ubat, dan pujuk saya supaya jangan menangis sambil dibantu oleh mak. Hati terasa sayu bila teringat. Inilah nilai kasih seorang ayah dan emak terhadap anaknya. Andaikata saya bekerja selama 100 tahun pun, saya pasti yang saya tetap takkan mampu untuk balas semua yang ma dan abah dah buat untuk saya. Takkan sesekali!!

Bila teringat balik semua ni, saya rasa inilah sebabnya kenapa saya nak sangat jadi doktor, macam abah. Supaya satu hari nanti, saya boleh jaga abah balik, jaga ma balik, macam yang diorang dah buat untuk saya sejak kecik lagi. Abah lah yang banyak mencorak sifat dan peribadi saya sekarang. Mungkin sebab saya membesar dengan niat untuk menjadi lelaki macam abah. Untuk jadi suami yang baik macam abah, jadi ayah yang baik macam abah. Saya akui, saya memang manja dengan mak jika dibandingkan dengan abah. Entahlah, saya rasa segan bila nak bermanja dengan abah. Saya terlalu hormatkan abah sampaikan saya tak mahu nampak lemah depan abah. Biarlah mak yang tahu kelemahan saya, tetapi tidak abah. Abah cuma ada seorang je anak lelaki, sebab itu saya berharap biarlah anak lelaki itu jadi anak lelaki yang terbaik untuk abah.

Jadi, sebab itulah saya perlu belajar rajin-rajin sekarang. Supaya berjaya jadi seorang doktor yang baik, macam abah. Saya tahu perjalanan saya masih jauh, ada 3 tahun setengah lagi sebelum saya layak dipanggil Dr. Dan saya pun tahu, perjalanan itu bukannya senang. Banyak cabaran dan halangan.

Andai kata inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan, saya redha. Sebab saya percaya, pengorbanan saya ini hanyalah sekecil zarah sekiranya dibandingkan dengan pengorbanan ma dan abah.

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa"

Renungan dan peringatan buat diri saya, dan adik-adik tersayang (wit, aya dan adik syiham).