Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Wednesday, May 21, 2008

Apa nak buat..dah minat..

Banyak betul isu2 politik negara sejak akhir2 ni. Isu lompat parti, isu PR nak tubuh kerajaan dalam masa terdekat, isu Sabah yang dikatakan di"anaktirikan", isu Dr. M keluar UMNO, dan yang terbaru, isu ugutan bunuh terhadap Karpal. Pening kepala saya tak pasal2. Hehe. Takpelah, tak perlulah saya ulas panjang kat sini. Bukan apa, lagipun ini bukanlah blog politik. Cukuplah sumber2 dan blog2 politik sedia ada untuk memberi komen mereka.

Saya akui, saya tak dapat lari daripada menulis tentang politik sekali-sekala. Sebab blog ini berkisar tentang erti hidup. Dan itu termasuklah politik. Sekali lagi saya ingatkan, saya bukan pakar politik. Saya cuma seorang mahasiswa yang baru nak masuk tahun 4. Pandangan yang saya berikan di blog ini, adalah pendirian saya. Dan perbezaan pendapat adalah fitrah.

Nak buat macam mana...saya memang minat dengan politik. Walaupun ilmu tak banyak, tapi minat tetap minat. Entahlah, mungkin bila seorang lelaki tu dah berumur 20 tahun ke atas, dia akan minat dengan politik. Betul ke? Pandai2 je saya ni!


Sunday, May 18, 2008

Apa erti perjuangan

Kenapa kita berjuang? Itu soalan yang saya minat sangat nak tanya ahli2 politik negara kita, terutama yang Muslim dan berbangsa melayu.

Sejak PRU-12 haritu, saya nampak makin ramai ahli politik yang nak jadi pejuang. Betullah, memang kena jadi pejuang pun. Sebab perjuangan dan politik adalah dua perkara yang pada saya tak boleh dipisahkan. Perjuangan adalah teras kepada semangat berpolitik. PAS ada perjuangannya yang tersendiri, UMNO pun ada, PKR pun ada, dan macam tulah jugak dengan DAP. PAS berjuang demi sebuah negara yang mengamalkan prinsip2 Islam dalam pentadbiran, UMNO berjuang demi ketuanan melayu, PKR berjuang demi keadilan rakyat, dan DAP dengan konsep Malaysian Malaysia. Semua ada asas perjuangannya yang berbeza.

Sebab tu saya kata, ahli politik memang pejuang pun. Tapi, kenapa kita berjuang? Itu yang perlu dijawab. Dan soalan ni jugak saya tujukan dekat semua saudara2 seIslam dan sebangsa saya kat luar saya.

Bukan apa, geram jugak rasanya bila belek2 blog2 politik ni. Yang politician nya pun bersuara, yang bukan politician pun bersuara jugak. Bersuara itu hak masing2. Cuma yang sedihnya, bila ada yang kononnya nampak nak berjuang, tapi macam tak ada tujuan. Kebanyakannya nak perjuangkan melayu, nak perjuangkan negara. Terikut2 sangat dengan "ketuanan melayu" kot.

Sebab tu saya tanya, kenapa kita berjuang? Saya orang melayu, dan saya jugak orang Malaysia. Tapi, pada saya, bukan itu yang patut didahulukan. Kita kan orang Muslim, kan lebih indah kalau kita perjuangkan Allah s.w.t, Rasulallah s.a.w. dan Islam dulu berbanding yang lain.

Saya bagi andaian macam ni. Kalau seseorang tu berjuang demi kaum, kalau tak ada kaum tu dah (eg. penghapusan etnik), maka tak adalah perjuangan tu. Kalau perjuangkan sesebuah negara, kalau negara tu dah kena bom dan hancur, maka perjuangannnya pun akan hancur sekali.

Tapi, kalau kita perjuangkan Islam, perjuangan kita adalah perjuangan yang hakiki. Sampai akhirat pun, insyaAllah kita akan dapat manfaat. Dan bila kita perjuangkan Islam, kita akan turut sama perjuangkan kaum dan negara. Sebab Islam pun suruh kita berjuang menjaga kedaulatan dan maruah bangsa dan negara. Sebab tu saya kata tak salah kalau pejuang2 kita ni nak perjuangkan bangsa atau negara. Cuma, biarlah terasnya adalah Islam.

Kita dah ada agama yang paling sempurna, paling indah dan paling mulia, iaitu Islam. Sekarang, apa yang tinggal adalah untuk mengamalkannya dengan menyeluruh :)

Friday, May 9, 2008

Isu karpal

Petang tadi, ma tanya pendapat saya pasal isu Karpal.

"Tok tahu jugak iz ma...iz pun tak abis baca lagi....nok keno baca sumo dulu baru boleh bagi komen.." jawab saya.

Sejujurnya, memang saya agak "lost" tadi bila ma ajukan soalan macam tu. Saya memang ada terbaca sikit pasal isu karpal ni. Siap keluar muka depan surat khabar lagi..melayu marahlah..nak buat laporan polislah..dan macam2 lagi. Dalam internet, 2 hari lepas dah keluar kalau tak silap. Memang ni bukan kali pertama pun Karpal buat kenyataan2 kontroversi macam ni. Kali ni yang kena Sultan Azlan Shah. Sebelum ni YDP Agong dah kena. Tengku Mahkota Kelantan pun pernah kena.

Cuma, setakat petang tadi, kebanyakan yang saya baca adalah sumber daripada akhbar arus perdana - sebab tu tak berani nak komen lagi.

Bila balik rumah, saya jenguk2 lah sikit internet. Tengok pasal isu karpal ni. Memang banyak dah pun blogger, website yang komen pasal ni. Bila dinilai, ada 2 kemungkinan pasal isu ni:

  1. boleh jadi media sengaja besar2kan isu ni dengan kaitkan ke"biadapan" karpal terhadap institusi kesultanan dengan kemarahan kaum melayu
  2. memang karpal sendiri yang tak @ kurang sensitif dengan isu ini
Pada saya, memang karpal agak kurang sensitif bila membuat kenyataan yang sebegitu. Iya, memang dia melihat daripada perspektif undang-undang, dan kita tak nafikan yang dia arif dengan undang2 sebab ni memang bidang dia. Cuma, saya rasa dia sepatutnya lebih berhati-hati bila bercakap.

"Kamu kena sedar kamu tu pembangkang karpal oi....."

Itu yang saya akan cakap kalau saya ketua pembangkang (malangnya saya bukan). Dia kena sedar, apa yang keluar dari mulut pembangkang ni selalunya akan diperbesarkan bila keluar kat media perdana. Benda kecik boleh jadi besar. Benda yang tak isu pun, boleh jadi isu. Sebab tu, pembangkang bercakap kena pandai berlapik terutama bila melibatkan isu yang sensitif macam ni.

Cuma yang lucunya, bila kita tengok balik pasal isu kebiadapan terhadap istana ni, orang umno sendiri pun pernah buat sebelum ni kat Terengganu, dekat Perlis semasa campurtangan pihak istana dalam pemilihan MB. Tagline seperti "Kami nak Idris, natang" memang obviously biadap pun. Tapi, sekarang yang duk marah kat karpal pun kebanyakannnya orang Umno. Sebab tu saya kata lucu. Mungkin betul jugak memang media agak membesar2kan perkara ni. Sebab masa orang Umno buat demonstrasi kepada pihak istana selepas PRU haritu, takde pulak saya rasa ada yang nak saman orang umno, takpun dakwa di bawah akta hasutan. Biadap tetap biadap. Takkan bila orang bukan melayu yang buat je kita nak kata biadap iye dak? Mungkin sebab karpal buat kenyataan kat Parlimen, jadi senanglah sikit dia kantoi.

Institusi kesultanan memang perlu dihormati sebagai rakyat Malaysia. Saya pun pernah rasa tak puas hati dengan institusi kesultanan ni. Tapi bila pensyarah saya terangkan balik tentang fungsi Agong dan Sultan, baru saya faham. Sebab Agong berfungsi sebagai ketua agama Islam, dan juga lambang perpaduan. Orang melayu ke, orang cina ke, orang india ke, semuanya menghormati Agong/Sultan sebagai ketua negara. Bila ada isu yang melibatkan perbezaan ideologi politik, sekurang-kurangnya Agong/Sultan boleh jadi orang tengah, sebagai pihak yang neutral. Ini penting untuk menjaga perpaduan.

Hormat-menghormati antara kaum sangat penting. Selagi tak ada orang yang api-apikan isu perkauman, saya tak rasa kenyataan karpal tu perlu dilayan sangat. Paling taknak pun buat tak tahu je. Tapi, yang lebih baik ialah dengan memberi penjelasan yang rasional terhadap kenyataan karpal tu. Kita profesional, jadi kita jawab dengan profesional.

Takkanlah kalau ada orang cubit kita, kita terus nak lempang kot. Cubit jelah dia balik. Cubit yang ada makna. Bukan cubit sebab geram atau marah.

Wednesday, May 7, 2008

JOM BERSATU!

Isu penyatuan Melayu. Em, tak reti mana saya pun nak komen tentang isu ni. Iya, kita akui memang isu ni isu yang penting, dan ia juga antara isu yang hangat akhir-akhir ni. Saya tak nafikan Melayu memang harus bersatu. Cuma bilamana kita membincangkan soal penyatuan dan perpaduan, pada saya ada beberapa perkara yang kita perlu take note.

Pertama, atas dasar apa kita bersatu? Atas dasar kaum? For what? Saya tak rasa melayu yang dah lupa asal usul kesah dengan benda ni. Apa ada pada kaum? Genetik? Who cares about genetic. Nobody. Kalau dah melayu pun dah nampak tak macam melayu, apa basis untuk kita bersatu atas faktor bangsa dan keturunan. Cuba check sekeliling kita. Saya yakin kadang-kadang kita pun selalu tertukar antara Melayu dengan bukan melayu. Pakaian orang melayu kita dah mengalahkan minah salleh. Usah cakap lah pasal perkara lain. Orang kata, Melayu ni terkenal dengan adab sopan ketimurannya, tapi sopankah Melayu kita sekarang? Ingatlah, kaum boleh berubah. Bukan pada luaran, tapi pada jiwa dan semangat. Sedangkan Cina Baba Nyonya pun boleh pakai kebaya, cakap melayu fasih, begitu jugalah dengan kaum melayu. Sebab itu, saya tak berapa gemar dengan formula politik berasaskan kaum ni seperti mana yang diamalkan UMNO. Pada saya, UMNO masih boleh jadi relevan, tapi dengan beberapa pengubahsuaian yang akan kita bincangkan kemudian.

Yang keduanya, kita perlu sedar kenapa kita perlu bersatu. Iya, nampak remeh tapi tak semua yang benar-benar "sedar". Ada yang sedar bahawa melayu memang perlu dijaga sebab kita tak mahu kehilangan hak-hak istimewa kita sebagai orang melayu. Tak ada siapa yang suka merempat di bumi sendiri dan saya bersetuju dengan hal tersebut. Tapi mungkin juga ada di kalangan mereka yang sedar betapa pentingnya menjaga melayu sebab risaukan periuk nasi mereka. Tanpa kita tahu apa pentingnya kita bersatu, maka sukar untuk kita bersatu.

Untuk menjawab persoalan ini, saya sememangnya bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh PAS. Ini pilihan saya (saya menyebut parti PAS kerana adanya black-and-white tentang pendekatan PAS, dan saya tidak mahu menuduh parti lain sebagai tidak mengambil pendekatan sebegini). Saya bersetuju bahawa Melayu hanya boleh disatukan atas dasar Islam. Bersatu sebagai orang Islam. Sebagai satu ummah. Jangan bersatu atas dasar kaum melayu. Apa yang ada pada title "Melayu"? Saya sebagai orang Melayu sendiri pun tak tahu. Sebab itu kita kena bersatu atas dasar Islam. Dan melayu sendiri pun memang berkait rapat dengan Islam. Ada tertulis dalam perlembagaan lagi. Bilamana kita bersatu atas dasar Islam, kita ada perjuangan yang benar. Kita menjaga melayu, kerana kita mahu menjaga Islam. Sebab rata-rata orang Islam di Malaysia terdiri daripada kaum Melayu. Sebab itu penting untuk kita jaga melayu, supaya orang melayu Islam kita dapat menjaga kesucian dan kehormatan Islam. Itu basis dan rasional menjaga melayu. Bukan atas dasar kaum, bukan atas dasar hak keistimewaan, bukan atas dasar ketuanan, tapi atas dasar Islam. Sepertimana Rasulallah s.a.w. menyatukan kabilah-kabilah Arab atas dasar Islam, dan bukannya atas dasar semangat nasionalisme Arab.

Sekarang, formulanya dah ada. Cuma menunggu pada pelaksanaan. Sebab itulah kita perlukan sokongan daripada semua pihak. Kalau betul nak menjaga melayu, PAS, UMNO dan PKR kena duduk semeja, berbincang dan bersatu. Kita semua pun sedar, undi Melayu pecah kepada tiga parti, tak seperti kaum-kaum lain. Atas dasar itulah, ketiga-tiga parti ini kena bersatu. Ketepikan dahulu perbezaan ideologi politik sebab kita semua punya misi yang sama, untuk menjaga kesucian dan kehormatan Islam. Jangan berdendam. Jangan kebudak-budakan. Dan jangan pentingkan diri. Fikirlah pada kemaslahatan ummah. Jangan disebabkan perpecahan kita, orang lain ambil kesempatan.

Bukan payah mana pun nak mematahkan sebatang lidi. Renungkanlah.

Kredit kepada Presiden PAS dan Roslan Shahir b Dato' Mohd Shahir.

Jangan terlalu taksub

Jangan terlalu taksub. Itu pesan saya. Taksub pada apa? Pada parti politik. Tak kisahlah anda mengundi kerajaan ke, mengundi pembangkang ke, janganlah terlalu taksub. Saya faham dengan belia-belia sekarang. Sebab saya pun belia, jadi saya faham apa yang mereka rasa. Tapi, ingatlah, jangan kita terlalu taksub.

Bila kita terlalu taksub, pemikiran kita akan jadi kurang rasional.
Kita akan lebih cenderung untuk bersikap bias pada parti yang kita sokong.

"aku punye je betul....ko nyer salah"
"hish, takkan la parti aku ni wat cenggitu....tak mungkin tak mungkin..."
"kalau parti tu, mesti amik duit rakyat nye lah"
"pemimpin parti aku cakap A, ko jangan ngengade cakap B plak"
"aku takkan silap punye..........."

Hm. Jangan jadi macam ni.

Contohilah seperti Saidina Ali k.w. bila ditanya oleh seorang sahabat ketika konflik antara Ali dan Muawiyah, tentang siapakah yang harus dia sokong, Ali ataupun Muawiyah. Saidina Ali adalah sahabat, sepupu dan juga menantu Rasulallah s.a.w, dan Muawiyah juga adalah sahabat Rasulallah s.a.w. maka dia berbelah bahagi tentang siapakah yang harus disokong.
Kata Saidina Ali, kenalilah kebenaran itu terlebih dahulu, maka kamu akan tahu siapa yang benar.


Wallahua’lam.


Sebab tulah kita tak boleh terlalu taksub pada seseorang atau sesuatu. Kebenaran harus disandarkan kepada Quran dan Sunnah, dah bukannya kepada si fulan bin si fulan ataupun parti A atau B.


Hanya Satu sahaja yang layak kita taksub tanpa batasan. Tanpa perlu dikurangkan walau sedikit pun. Tiada yang lain melainkan kepada Allah s.w.t. sahaja. Taksublah kepada Allah Yang Maha Esa.

Kelantan Pasca PRU-12

Em, apa agaknya? Entahlah, macam sama je dengan sebelum ni. Aduhai. Tak tahu lah saya nak bagi komen. Apa yang pasti, Kelantan sudah tidak sepopular dulu. Iyelah, kalau sebelum ni, setiap hari kalau tak ada cerita pasal Kelantan dalam media memang tak sah, iye dak? Sekarang ni, muka budak2 Akademi Fantasia je lah kot yang famous .

Okay, saya pasti semua orang pun dah tahu keputusan pilihan raya di Kelantan. Alhamdulillah, segalanya masih seperti dulu ;) Saya tak ingin komen banyak tentang asbab dan musabab kenapa BN boleh kalah teruk haritu di Kelantan. Mungkin ramai yang dah tahu, memang anak-anak muda yang banyak mengundi PAS tempoh hari di Kelantan. Bagi saluran-saluran yang lain, peratusan pengundi BN dan PAS tak banyak beza. Itu yang saya dimaklumkan lah. Wallahu'alam.

Ada yang kata ini undi protes. Rakyat bukan tak sayangkan BN, tapi cuma nak "cubit" sikit je bagi sedar. Sebab itu mereka protes dengan mengunti parti selain BN. Boleh jadi juga.

Ada juga yang kata sememangnya rakyat bencikan BN, sebab itulah mereka mengundi parti selain BN. Boleh jadi juga.

Ada jugak yang kata, ini semua gara-gara undi anak muda yang emosi dengan kerajaan pusat sekarang. Kerana itu mereka mengundi Pakatan Rakyat. Boleh jadi juga.

Ada yang kata memang rakyat sukakan PAS, dengan kepimpinan ulama'nya, dan mereka menyuarakannya dengan terus mengundi PAS. Boleh jadi juga.

Apa juga sebab sekalipun, keputusan PRU-12 dah lama kita tahu. PAS di Kelantan semakin mendominasi. Dan BN pula semakin tersepit. Kalau ditengok pada ratio kerajaan dan pembangkang semasa perbahasan DUN Kelantan, pun dah banyak sangat beza, tak seperti sebelum ni. Tapi mujurlah, wakil-wakil BN tetap ada. Pada saya, perlu juga ada pembangkang dalam sesebuah kerajaan. Supaya nanti ada check and balance. PAS memperjuangkan Islam, tetapi kita harus ingat yang wakil-wakil rakyat PAS ini juga manusia. Islam pasti dan pasti sempurna dan indah. Tetapi, wakil rakyat PAS tidak sempurna. Mereka punyai potensi untuk melakukan kesilapan, seperti mana juga orang lain. Sebab itulah, pembangkang perlu ada untuk menegur.

Alhamdulillah, kali ini saya amat suka dengan ketua pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Amat. Pada saya, beliau nampak lebih berketerampilan dan rasional berbanding KP yang sebelumnya. Harap-harap, mereka semua melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan. InsyaAllah.

Kelate Come Sokmo

Terlanjur saya menceritakan betapa saya amat menyenangi pimpinan kerajaan ulamak di Kelantan, mungkin ada yang terfikir - bakpo sayo syg benar ko negeri kelate nih?

1. Tiada lagi kedai judi. Bermula 23 oktober 1990, penghapusan lesen judi kepada 17 buah kedai SPORT TOTO dan 2 buah kedai Empat Nombor Ekor di Kota Bharu telah dilaksanakan.

2. Menutup aurat dan berpakaian sopan. Arahan berpakaian menutup aurat bagi semua pekerja wanita Islam dan berpakaian sopan bagi bukan Islam di semua premis perniagaan telah diperkenalkan pada tahun 1991.

3. Tiada iklan tidak menutup aurat. Larangan menggunakan gambar model wanita yang tidak menutup aurat telah disyaratkan bagi semua papan iklan termasuk billboard, sepanduk, banting dan poster.

4. Kuliah Jumaat oleh MB sendiri. Jalan Dato' Pati di Kota Bharu ditutup pada setiap pagi Jumaat bagi memberi laluan kepada ceramah agama mingguan oleh MB. Saya tak kata MB lain tak buat macam ni. Cuma saya kata MB Kelantan sekarang memang buat. Dan bagi saya, bukan senang nak ada peluang macam ni.

5. Menghormati waktu solat. Arahan memberhentikan perniagaan pada waktu solat Jumaat di pasaraya dan 15 minit sebelum Maghrib kepada setiap pasar malam dilaksanakan. Saya pernah ingin membeli makanan di pasar malam Kubang Kerian masa dekat waktu Maghrib tapi dijawab "takleh jual doh dik, lepas maghrib baru sambung".

6. Penggunaan tulisan jawi. Di Kelantan, tulisan jawi ditulis pada setiap tanda nama jalan, bangunan dan semua bentuk iklan. Mungkin nampak remeh bagi sesetengah pihak, tapi apa-apapun, saya tetap suka. Bila lagi nak martabatkan tulisan jawi betul tak. Kalau nak jumpa TESCO dengan tulisan jawi, datanglah ke Kelantan ;]

Inilah antara serba sedikit yang mampu saya tulis. Banyak lagi kalau nak ditulis kesemuanya.

Undilah dengan bijak!

Bahang pilihan raya dah makin terasa. Sebagai seorang rakyat Kelantan, saya tak nafikan yang saya memang berminat dengan segala bentuk perkara yang melibatkan politik di Kelantan. Jujurnya, saya akui saya sememangnya selesa dengan kerajaan Kelantan yang ada sekarang. Entahlah, mungkin ini personal preference saya. Saya cuma menyokong apa yang saya rasakan betul.

Saya tak nafikan, lain orang, lainlah ragam dan caranya. Pada saya, saya cuma mengambil pendekatan yang termampu, sebagai seorang hamba Allah, dan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Apa yang termampu saya lakukan, hanyalah melihat pada luaran. Pada perkara-perkara zahir semata-mata. Soal keikhlasan, soal niat, itu semua di luar kemampuan kita untuk menilai kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Berbekalkan hati, akal, mata, telinga dan segala deria yang ada, aset-aset inilah yang harus kita gunakan dalam melakukan penilaian. Pilihlah parti dan pemimpin yang anda rasakan benar-benar layak. Undi itu adalah amanah. Sebab itulah kita kena mengundi dengan sebaik yang mungkin. Kalau ada yang masih ragu-ragu, buatlah solat isthiqarah setiap malam sebelum 8 Mac. Doakan semoga Allah tunjukkan yang mana pilihan yang lebih baik. Kita ini makhluk, semestinya kita tak tahu. Kadang-kadang, apa yang kita rasa kita tahu itu pun tak semestinya betul. Tapi yakinlah, bahawa Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap sesuatu.

Undilah dengan bijak!

Betul tapi tak benar


Berita Harian Online

Berita Harian (10/1/08) - Retorik agama tidak akan majukan Kelantan

Sekali lagi mata saya tertarik dengan isu yang melibatkan negeri Kelantan. Wah, fanatik jugak saya terhadap Kelantan. Entahlah, mungkin disebabkan saya tidak bersetuju dengan kandungan artikel tersebut. Tajuk yang betul, tetapi tidak benar. ‘Betul’ dalam erti kata, bahawa retorik agama sememangnya tidak akan membawa sebarang kemajuan kepada sesebuah negeri, tetapi ‘tidak benar’ kerana bagi saya, tiada retorik agama yang berlaku di Kelantan. Banyak fakta yang pada saya bercanggah dengan hakikat sebenar. Selaku rakyat Kelantan, yang membesar di Kelantan, saya merasakan terlalu banyak kenyataan-kenyataan yang berbentuk fitnah dalam artikel tersebut dan perlu bagi saya untuk membetulkannya.

Saya bukanlah seorang ahli politik, apatah lagi seorang sutradara yang mahir dan bijak berkata-kata. Namun, saya mengharap, semoga setitis ilmu dan pengalaman yang saya miliki, sedikit sebanyak membantu saya, dengan berkat dan keizinan daripada Allah.

Di sini, saya sertakan bersama fakta asal artikel tersebut, diikuti dengan komen saya:

Pertama:

“SEPANDUK, pintu gerbang dan hiasan bermotifkan Islam di jalan raya memberi ingatan berguna kepada orang ramai. Namun tanpa pelaksanaan sebenar hukum Islam, semua ini mengaburi mata rakyat dan kosmetik bertopengkan agama.

Simbol dan slogan atau retorik agama tidak akan membangunkan rakyat bersama Islam, malah membuka laluan kepada keruntuhan dan kekufuran. Pas sudah berkali-kali berjaya dengan cara ini dan akan meneruskan amalan buruk ini semata-mata untuk memenangi pilihan raya.”

Ya Allah, sedih hati saya bila terbaca kenyataan sebegini. Yang pertama, artikel ini seolah-olah mempertikaikan niat kerajaan Kelantan dalam melaksanakan segala yang diperkatakan tadi. Sudah saya katakan dari dulu, dalam kita menilai sesuatu perkara, nilailah sekadar kemampuan kita, yakni menilai dari sudut zahir. Usah dipertikaikan soal niat kerana itu di luar kemampuan kita. Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah. Oleh itu, serahkanlah soal niat dan keikhlasan itu kepada Allah. Bersangka baiklah selalu, kerana itu tuntutan agama kita.

Yang kedua, saya sememangnya tidak bersetuju dengan soal ‘tiada pelaksanaan oleh kerajaan kelantan’. Entah pernah atau tidak penulis ini pergi melawat Kelantan saya pun tidak tahu. Pada saya, banyak pelaksanaan dan implementasi yang telah dilakukan oleh kerajaan Kelantan. Lihat saja iklan-iklan pada billboard di seluruh negeri Kelantan, kesemuanya menutup aurat. Baik iklan Celcom yang memaparkan wajah maya Karin bertudung lengkap selaku watak utama, hinggalah kepada iklan Digi yang menyelitkan gambar wanita bertudung, walaupun hanya sebagai watak sampingan (watak wanita tersebut kecil sahaja jika dinisbahkan dengan watak utama lelakinya). Tindakan kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang menutup aurat bagi muslim, dan berpakaian sopan bagi bukan muslim di Kota Bharu, juga bukti pelaksanaan hukum Islam. Ceramah-ceramah agama oleh tuk guru Nik Aziz sendiri pada setiap hari Jumaat adalah contoh pengkayaan ilmu yang cuba diterapkan oleh kerajaan Kelantan. Usahlah dituduh itu adalah ceramah politik, kerana itu hanya membuktikan bahawa mereka tidak pernah pergi pun ke ceramah tuk guru. Semua ini adalah bukti implementasi dan pelaksanaan yang saya tidak pernah nampak pun di Selangor (tempat saya belajar sekarang. Tentang negeri lain, saya tidak pasti dan tidak mahu bersangka buruk). Iklan menutup aurat? Ceramah agama oleh Menteri Besar Selangor setiap hari Jumaat? Heh (read:senyum sinis).

Kedua:

“Selepas berkuasa, mereka tidak akan menyebut atau merujuk lagi kepada janji manis dan harapan tinggi dalam manifesto. Jika hendak membina sebuah masjid pun disuruh rakyat menyediakan tanah dan wang, apa erti manifesto parti? Siapakah yang munafik?”

Saya tidak pasti dengan perihal “rakyat perlu menyediakan tanah dan wang sendiri untuk membina masjid”, samada ianya benar ataupun tidak. Saya belum pernah bertanyakan hal ini kepada kepimpinan kerajaan Kelantan sendiri. Iya, kerajaan Kelantan mengakui bahawa mereka tidak pernah membina masjid, cuma sekadar membaiki masjid-masjid sedia ada. Pada saya, kerajaan Kelantan mengambil pendekatan yang berbeza dalam kes ini. Tumpuan diberikan lebih kepada soal mengimarahkan masjid, memenuhkan masjid dengan jemaah (bukan setakat imam dan bilal serta AJK masjid) dan pengisian agama, dan bukannya kepada soal bilangan masjid yang dibina. Membina masjid pun memerlukan wang, jadi andaikata masjid sudah mencukupi, pendekatan yang seterusnya adalah memuliakannya dan mengimarahkannya. Betul kan? Sepanjang hidup saya di Kelantan selama ini, belum pernah saya mengalami masalah mencari masjid untuk bersolat. Datanglah ke Kelantan, rasai dan alamilah sendiri. Itu nasihat saya.

Ketiga:

“Yang kaya dan mewah tetap juga orang lain dalam negeri ditadbir orang Islam. Mereka membanjiri lot kedai dan komersial yang dibina tanpa menampakkan perubahan di kalangan pemilik dan peniaga Melayu.

Apakah yang sebenarnya berubah sesudah Kelantan berpindah daripada tangan Barisan Nasional (BN) ke tangan Pas sejak 18 tahun lalu? Apakah rakyat membangun bersama Islam? Yang jelas dan pasti membangun di Kelantan ialah ekonomi bukan Melayu. Bilangan mereka juga semakin meningkat.”

Ayat “yang kaya dan mewah tetap juga orang lain dalam negeri ditadbir orang Islam” ini cukup kelakar bagi saya. Bukankah ayat itu juga boleh diapply pada negara Malaysia sendiri. Malaysia juga dipimpin dan ditadbir oleh orang Islam. Pak lah orang Islam, Datuk Seri Najib pun orang Islam. Tapi, orang yang paling kaya di Malaysia ni orang Melayu ke? Kalau bukan Datuk Robert Kwok, yang merupakan taiko gula dan pemilik rangkaian hotel Shangri-la, mestilah taiko Maxis dan Astro, Datuk Ananda. Kalau ada pun orang melayu dalam senarai sepuluh orang terkaya di Malaysia pun hanyalah Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary, Pengerusi Yayasan Albukhary. Satu persepuluh bukanlah angka yang besar dalam kamus Matematik.

Saya tidak nafikan, semenjak pembinaan KB Mall, bilangan kaum bukan melayu yang berniaga di Kelantan semakin bertambah. Tapi, sekurang-kurangnya, penguasaan market dan perniagaan di Kelantan masih dimonopoli oleh orang melayu. Cuba lihat di sekitar KL, Selangor ataupun Pulau Pinang, senarionya jauh berbeza. Satu-satunya kedai milik orang melayu di KLCC yang mampu bertahan suatu ketika dahulu (ie Kelantan Delights) pun saya tak pasti ada lagi ke tidak. Entah-entah dah pupus! Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Elok jugaklah peribahasa ini dicipta, sebab ada juga kegunaannya.

Keempat:

“Sekiranya Kelantan tidak begitu mundur, ia akan menerima banyak perubahan daripada kegiatan pelbagai macam industri dan kegiatan ekonomi. Tetapi semua ini tidak akan terjadi kerana pemimpin Pas memilih untuk mundur.”

(Untuk bidasan ini, rujuk entry ‘Kelantan.....oh tanah airku.’)

Kelima:

“Pemimpin Pas pada hakikatnya bimbang akan kehilangan kerusi kerana kehilangan kerusi bermakna kehilangan pendapatan dan mata pencarian sebagai wakil rakyat. Tidak munafik jika mereka menggunakan agama dan ayat al-Quran untuk menang atau jika mereka memesong dan mengelirukan fikiran rakyat untuk mengekalkan kuasa.”

Ya Allah, senangnya mulut ini berkata-kata. Walaupun saya sendiri pernah melihat betapa besarnya mahligai-mahligai pemimpin politik BN, saya tetap tak berani untuk mengeluarkan kenyataan sebegini secara terbuka. Bimbang, kalau-kalau mereka benar-benar ikhlas, bukankah saya telah mengeluarkan fitnah. Andaikata ada seorang dua pemimpin Pas yang bertindak sebegitu, adalah tidak adil untuk menghukum kesemua pemimpin Pas sebagai taksub kuasa. Nasihat saya, datanglah sendiri ke Kelantan. Tengok sendiri rumah-rumah pemimpin Pas, dan cuba bandingkan dengan pemimpin BN yang lain. Entah-entah, rumah penulis artikel ini sendiri pun lebih besar berbanding rumah tuk guru Nik Aziz. Kalau tak kenal, saya boleh tolong bawakkan. Pulau Melaka tak jauh dengan rumah saya di Kubang Kerian. Lepas itu, fikir-fikirkanlah, siapa sebenarnya yang lebih takut kehilangan kuasa, pemimpin Pas ataupun BN.

Keenam:

“Mereka begitu taksub mengembang dan memperluaskan pengaruh politik kepartian daripada mimbar masjid. Apatah lagi apabila hujah khatib tidak dapat diserang balas oleh makmum yang mendapati pendapat mereka itu salah.”

Soalan saya, pernah tak si penulis ini datang mendengar khutbah di Kelantan? Kalau tak pernah, datang dulu dan dengar. Lepas tu, barulah keluarkan kenyataan yang betul. Saya yakin sesiapa sahaja yang pernah bersolat Jumaat di Kelantan, akan faham dengan apa yang cuba saya sampaikan ini.

Kesimpulan:

Inilah antara serba sedikit petikan artikel tersebut. Kalau nak dibidas semua, takkan habislah jawabnya. Apa yang termampu saya lakukan adalah untuk highlight seberapa banyak yang mungkin. Maafkan andaikata ada yang tidak setuju ataupun terkilan dengan penulisan saya kali ini. Perbezaan pendapat adalah fitrah. Terpulanglah kepada sesiapa yang ingin mendengar dan menerima. Bagi saya, ini tanggungjawab saya selaku rakyat Kelantan, untuk membela maruah negeri saya, kerana saya yakin, bukan semua orang berkesempatan datang dan merasai sendiri kehidupan di sini. Apa yang digambarkan dalam media, mungkin jauh terpesong dengan hakikat sebenar.

Pendapat peribadi saya, persoalan yang timbul bukanlah pada parti mana yang memerintah, tetapi parti mana yang memperjuangkan Islam. Andaikata BN memperjuangkan Islam sebenar-benarnya, maka saya tidak teragak-agak untuk memilih BN dan begitu juga sekiranya Pas tidak melaksanakan Islam, saya juga tidak akan membela Pas seperti yang saya lakukan kali ini. Saya bersangka baik pada kedua-dua parti, bahawa mereka mahu memperjuangkan Islam, baik BN dengan Islam Hadhari dan Pas dengan kepimpinan ulama’nya. Apalah hak saya untuk mempertikaikan niat dan keikhlasan mereka, sedangkan saya juga manusia biasa, yang sifatnya dan fitrahnya terbatas. Yang tinggal sekarang, hanyalah pembuktian dan pelaksanaannya. Itulah asas kepada penilaian saya, selaku manusia yang daif lagi hina serta terbatas.

Wallahu’lam.

Politik lagi?

Saya kecewa sebenarnya dengan pemimpin-pemimpin negara sejak akhir-akhir ini. Baik pemimpin politik, mahupun pemimpin badan-badan kerajaan, bukan kerajaan, dan bebas. Makin hari, makin banyak kenyataan-kenyataan yang pada saya, kurang bernas dikeluarkan oleh seorang pemimpin. Bukan niat saya untuk mempertikaikan tahap pendidikan mahupun pemikiran mereka. Apatah lagi untuk mengatakan bahawa mereka kurang bijak berkata-kata. Cuma, sebagai seorang pemimpin, saya mengharapkan sesuatu yang membina keluar dari mulut mereka. Sesuatu yang boleh meransang pemikiran dan kematangan rakyat-rakyat seperti kami. Ini hanyalah pendapat dan suara hati saya, sebagai seorang mahasiswa tahun tiga yang belum pun tamat pengajian, dan bukanlah pakar dalam bidang politik.

Bermula dengan kenyataan seorang menteri di jabatan perdana menteri, yang kecoh dengan kes adik Nurin suatu ketika dahulu, kononnya untuk menyaman ibubapa yang cuai menjaga anak-anak. Sedangkan pada waktu itu, pembunuh adik Nurin pun belum dijumpai. Sudahlah tidak menjaga sensitiviti keluarga mangsa, yang sudah pasti sedih dengan tragedi itu, ditambah pula dengan kenyataan yang tidak kena pada tempatnya. Hai, entahlah. Bukankah lebih “prihatin” andaikata beliau mendahulukan penangkapan pembunuh tersebut, berbanding “penangkapan” ibu bapa Nurin. Sampai ke hari ini, pembunuh Nurin pun masih belum dijumpai!

Selepas itu, timbul pula isu apabila ada sejumlah peguam daripada majlis peguam membuat perarakan rentetan kes video yang mengaitkan seorang peguam kanan sedang berbual di telefon mengenai perlantikan hakim-hakim, maka keluarlah pula kenyataan daripada menteri, juga daripada jabatan perdana menteri. Katanya, golongan peguam ini adalah golongan minoriti sahaja. Ramai lagi peguam-peguam lain yang tidak berarak. Jadi, pandangan mereka tidak boleh diterima, kerana kononnya itu suara minoriti. Aduhai, sedih hati saya. Adakah ini respon daripada seorang menteri yang pakar dalam bidang undang-undang? Bukankah suara minoriti itu juga penting? Bahkan, suara-suara itu adalah suara peguam, yakni mereka yang mahir akan selok-belok kehakiman. Maka, sudah pasti suara mereka perlu diambil kira. Janganlah mengharapkan seluruh peguam yang ada di negara ini untuk turun berarak, baru nak diambil tindakan. Kita perlu ingat, peguam yang ada bukan tinggal di sekitar Kuala Lumpur sahaja, tetapi di seluruh pelusuk negara. Mustahil untuk mereka semua turun berkumpul di KL, walaupun mungkin mereka juga berminat untuk menyertai.

Kemudian, baru-baru ini, kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri penerangan berikutan penganjuran perhimpunan BERSIH, juga tidak begitu kena selaku seorang pemimpin. Sudahlah bahasa yang digunakan tidak begitu teratur, ditambah pula dengan fakta yang bercanggah, diburukkan lagi dengan mengeluarkan kenyataan yang membabitkan negara-negara luar tanpa memikirkan sensitiviti mereka. Ditayangkan pula oleh stesen televisyen Al-Jazeera, dimana seluruh dunia mampu menyaksikan temuramah tersebut, saya cuma mampu menepuk dahi.

Yang paling mengecewakan saya, adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pegawai SPR apabila diajukan soalan tentang pengundi hantu. Katanya, kalau pengundi-pengundi itu ada kaki, maka itu bukanlah pengundi hantu! Hadui. Rakyat Malaysia bukanlah bodoh benar untuk menerima definisi pengundi hantu sebagai hantu yang sebenarnya! Jawapan yang pada saya, tidak menunjukkan kematangan seorang pemimpin. Mungkin beliau berniat untuk bergurau, saya pun tak pasti. Secara logiknya, apabila seluruh negara menyaksikan beliau di kaca tv, dan mengharapkan jawapan yang baik daripada beliau, maka pada saya, itu bukanlah masa yang terbaik untuk bergurau!

Apa-apapun, saya ingin ingatkan sekali lagi, saya bukanlah pakar dalam bidang ini. Ini cuma pendapat hasil pemerhatian secara zahir. Apalah yang mampu saya lakukan, saya bukannya mampu membaca hati dan niat seseorang. Oleh itu, apa yang terbaik yang mampu saya lakukan ialah melakukan penilaian berdasarkan apa yang ada di hadapan mata saya, menggunakan hati dan akal yang Allah anugerahkan kepada saya. Walluhu’alam.

Kelantan....oh tanah airku

Bila terbaca tentang kenyataan pemimpin negara dalam surat khabar baru-baru ini, saya terfikir, apa sebenarnya takrifan “maju” pada pandangan mereka. Ini rentetan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin no. 2 Malaysia tentang kemajuan-kemajuan yang bakal dikecapi oleh rakyat Kelantan andaikata parti kerajaan memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Selaku rakyat Kelantan, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada berfikir tentang masa depan negeri saya. Iya, saya tak nafikan, Kelantan bukanlah semaju Kuala Lumpur, ataupun Selangor, ataupun Pulau Pinang. Tetapi, pada saya Kelantan tidaklah berbeza mana jika nak dibandingkan dengan Kedah, Perlis, ataupun Terengganu. Bahkan, pembangunan di Kelantan pun semakin pesat dan rancak sejak akhir-akhir ini. Bermula dengan pembinaan KB Mall, kemasukan rangkaian kedai serbaneka 7-11, pembinaan Kelantan Trade Center dan yang paling terbaru, pembinaan pusat membeli-belah TESCO yang bakal dibuka tidak lama lagi. Ini semua bukti bahawa Kelantan sedang membangun pada kadar yang sangat pesat, dan juga bukti betapa pelabur-pelabur berminat dengan potensi market yang ada di Kelantan.

Jadi, apa sebenarnya kayu ukur kemajuan yang dimaksudkan mereka? Itu persoalan yang perlu dijawab. Adakah dengan wujudnya banyak disco dan pub membuktikan bahawa sesebuah negeri itu maju? Ataupun bilamana masyarakatnya memakai pakaian yang terdedah sana, terdedah sini, macam orang tak cukup kain, baru kita katakan negeri itu maju? Ataupun bilamana rakyat sudah tidak saling hormat menghormati, hilang semangat kejiranan dan hanya mengejar kebendaan, itu petanda kemajuan?

Andaikata inilah kayu ukur kemajuan, maka saya rela Kelantan terus mundur untuk selamanya!

Pada saya, tidak salah untuk mengejar kemajuan. Bahkan, agama kita yakni agama Islam pun turut menuntut umatnya untuk menjadi umat yang maju. Tetapi, biarlah kemajuan iman,takwa dan akhlak masyarakat itu didahulukan berbanding kemajuan material. Itu tuntutan Islam. Maka, sudah pasti itulah yang perlu kita dahulukan. Tidak ada gunanya mempunyai negeri kelas pertama, tetapi didiami umat yang rohaninya kelas ketiga. Sama-samalah kita renungkan.

Hm.........

Politic is still politic. Itu kenyataan yang diperakui sendiri oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek tentang hakikat politik dalam kerajaan Malaysia. Dia sendiri mengakui yang bilamana seseorang ahli politik itu sudah tidak ada jawatan dalam kerajaan, orang ramai mungkin dah tak kenal dia dah. Katanya, dia sendiri pernah tengok bekas menteri yang datang ke majlis, tapi tiada tempat duduk. Ha, guano cito ni?

Hakikatnya, itulah yang berlaku bila masyarakat menyanjung seorang pemimpin berdasarkan pangkatnya. Bila ada jawatan, pemimpin disanjung bagai nak rak. Kipas sana, kipas sini. Bila dah jatuh, orang-orang yang selama ni duk kipas, duk bodek, terus dapat penyakit Alzheimer. Alangkah indahnya kalau pemimpin dihormati atas faktor keperibadian beliau, iaitu atas dasar ketakwaan dan keimanannya kepada Allah. Pasti walaupun sudah tiada jawatan, beliau akan sentiasa dan terus dihormati dan disanjungi oleh masyarakat. Bukankah itu yang kita katakan sebagai pemimpin yang sebenar. Sama-samalah kita renungkan.

p/s: Aduhai, apa nak jadi dengan politik Malaysia ni?

Err......

A couple of days ago, I bought a tabloid named Wasilah in one of the bookstores at HUSM, Kubang Kerian. Honestly it's quite a political tabloid (which is why I bought it in the 1st place), and it claimed to be "free" from either side. Well, it's not like I care much about that. Better to read from all sorts of sources, before I jumped into any conclusion. At least, I can avoid making any premature assumption regarding any issues of my interests.


Anyway, that is not the issue. What really matters me is that I'm starting to take this new "habit" of mine (ie buying and reading any kind of reading materials associated with politic), as my new hobby! Oh my God, is this really okay? I even day-dreaming of being a politician one day in the future. Oh oh. That is totally not me.

Better search for a new hobby A.S.A.P.

p/s: It's fun reading the tabloid anyway. Unless I got all the answers I want, I will keep on reading them.

"kawe loni tok supo mulo...tok berani kawe nok kato....." (lagu dikir barat yang diubah suai)