Wednesday, May 7, 2008

Politik lagi?

Saya kecewa sebenarnya dengan pemimpin-pemimpin negara sejak akhir-akhir ini. Baik pemimpin politik, mahupun pemimpin badan-badan kerajaan, bukan kerajaan, dan bebas. Makin hari, makin banyak kenyataan-kenyataan yang pada saya, kurang bernas dikeluarkan oleh seorang pemimpin. Bukan niat saya untuk mempertikaikan tahap pendidikan mahupun pemikiran mereka. Apatah lagi untuk mengatakan bahawa mereka kurang bijak berkata-kata. Cuma, sebagai seorang pemimpin, saya mengharapkan sesuatu yang membina keluar dari mulut mereka. Sesuatu yang boleh meransang pemikiran dan kematangan rakyat-rakyat seperti kami. Ini hanyalah pendapat dan suara hati saya, sebagai seorang mahasiswa tahun tiga yang belum pun tamat pengajian, dan bukanlah pakar dalam bidang politik.

Bermula dengan kenyataan seorang menteri di jabatan perdana menteri, yang kecoh dengan kes adik Nurin suatu ketika dahulu, kononnya untuk menyaman ibubapa yang cuai menjaga anak-anak. Sedangkan pada waktu itu, pembunuh adik Nurin pun belum dijumpai. Sudahlah tidak menjaga sensitiviti keluarga mangsa, yang sudah pasti sedih dengan tragedi itu, ditambah pula dengan kenyataan yang tidak kena pada tempatnya. Hai, entahlah. Bukankah lebih “prihatin” andaikata beliau mendahulukan penangkapan pembunuh tersebut, berbanding “penangkapan” ibu bapa Nurin. Sampai ke hari ini, pembunuh Nurin pun masih belum dijumpai!

Selepas itu, timbul pula isu apabila ada sejumlah peguam daripada majlis peguam membuat perarakan rentetan kes video yang mengaitkan seorang peguam kanan sedang berbual di telefon mengenai perlantikan hakim-hakim, maka keluarlah pula kenyataan daripada menteri, juga daripada jabatan perdana menteri. Katanya, golongan peguam ini adalah golongan minoriti sahaja. Ramai lagi peguam-peguam lain yang tidak berarak. Jadi, pandangan mereka tidak boleh diterima, kerana kononnya itu suara minoriti. Aduhai, sedih hati saya. Adakah ini respon daripada seorang menteri yang pakar dalam bidang undang-undang? Bukankah suara minoriti itu juga penting? Bahkan, suara-suara itu adalah suara peguam, yakni mereka yang mahir akan selok-belok kehakiman. Maka, sudah pasti suara mereka perlu diambil kira. Janganlah mengharapkan seluruh peguam yang ada di negara ini untuk turun berarak, baru nak diambil tindakan. Kita perlu ingat, peguam yang ada bukan tinggal di sekitar Kuala Lumpur sahaja, tetapi di seluruh pelusuk negara. Mustahil untuk mereka semua turun berkumpul di KL, walaupun mungkin mereka juga berminat untuk menyertai.

Kemudian, baru-baru ini, kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri penerangan berikutan penganjuran perhimpunan BERSIH, juga tidak begitu kena selaku seorang pemimpin. Sudahlah bahasa yang digunakan tidak begitu teratur, ditambah pula dengan fakta yang bercanggah, diburukkan lagi dengan mengeluarkan kenyataan yang membabitkan negara-negara luar tanpa memikirkan sensitiviti mereka. Ditayangkan pula oleh stesen televisyen Al-Jazeera, dimana seluruh dunia mampu menyaksikan temuramah tersebut, saya cuma mampu menepuk dahi.

Yang paling mengecewakan saya, adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pegawai SPR apabila diajukan soalan tentang pengundi hantu. Katanya, kalau pengundi-pengundi itu ada kaki, maka itu bukanlah pengundi hantu! Hadui. Rakyat Malaysia bukanlah bodoh benar untuk menerima definisi pengundi hantu sebagai hantu yang sebenarnya! Jawapan yang pada saya, tidak menunjukkan kematangan seorang pemimpin. Mungkin beliau berniat untuk bergurau, saya pun tak pasti. Secara logiknya, apabila seluruh negara menyaksikan beliau di kaca tv, dan mengharapkan jawapan yang baik daripada beliau, maka pada saya, itu bukanlah masa yang terbaik untuk bergurau!

Apa-apapun, saya ingin ingatkan sekali lagi, saya bukanlah pakar dalam bidang ini. Ini cuma pendapat hasil pemerhatian secara zahir. Apalah yang mampu saya lakukan, saya bukannya mampu membaca hati dan niat seseorang. Oleh itu, apa yang terbaik yang mampu saya lakukan ialah melakukan penilaian berdasarkan apa yang ada di hadapan mata saya, menggunakan hati dan akal yang Allah anugerahkan kepada saya. Walluhu’alam.

No comments: