Wednesday, May 7, 2008

Betul tapi tak benar


Berita Harian Online

Berita Harian (10/1/08) - Retorik agama tidak akan majukan Kelantan

Sekali lagi mata saya tertarik dengan isu yang melibatkan negeri Kelantan. Wah, fanatik jugak saya terhadap Kelantan. Entahlah, mungkin disebabkan saya tidak bersetuju dengan kandungan artikel tersebut. Tajuk yang betul, tetapi tidak benar. ‘Betul’ dalam erti kata, bahawa retorik agama sememangnya tidak akan membawa sebarang kemajuan kepada sesebuah negeri, tetapi ‘tidak benar’ kerana bagi saya, tiada retorik agama yang berlaku di Kelantan. Banyak fakta yang pada saya bercanggah dengan hakikat sebenar. Selaku rakyat Kelantan, yang membesar di Kelantan, saya merasakan terlalu banyak kenyataan-kenyataan yang berbentuk fitnah dalam artikel tersebut dan perlu bagi saya untuk membetulkannya.

Saya bukanlah seorang ahli politik, apatah lagi seorang sutradara yang mahir dan bijak berkata-kata. Namun, saya mengharap, semoga setitis ilmu dan pengalaman yang saya miliki, sedikit sebanyak membantu saya, dengan berkat dan keizinan daripada Allah.

Di sini, saya sertakan bersama fakta asal artikel tersebut, diikuti dengan komen saya:

Pertama:

“SEPANDUK, pintu gerbang dan hiasan bermotifkan Islam di jalan raya memberi ingatan berguna kepada orang ramai. Namun tanpa pelaksanaan sebenar hukum Islam, semua ini mengaburi mata rakyat dan kosmetik bertopengkan agama.

Simbol dan slogan atau retorik agama tidak akan membangunkan rakyat bersama Islam, malah membuka laluan kepada keruntuhan dan kekufuran. Pas sudah berkali-kali berjaya dengan cara ini dan akan meneruskan amalan buruk ini semata-mata untuk memenangi pilihan raya.”

Ya Allah, sedih hati saya bila terbaca kenyataan sebegini. Yang pertama, artikel ini seolah-olah mempertikaikan niat kerajaan Kelantan dalam melaksanakan segala yang diperkatakan tadi. Sudah saya katakan dari dulu, dalam kita menilai sesuatu perkara, nilailah sekadar kemampuan kita, yakni menilai dari sudut zahir. Usah dipertikaikan soal niat kerana itu di luar kemampuan kita. Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah. Oleh itu, serahkanlah soal niat dan keikhlasan itu kepada Allah. Bersangka baiklah selalu, kerana itu tuntutan agama kita.

Yang kedua, saya sememangnya tidak bersetuju dengan soal ‘tiada pelaksanaan oleh kerajaan kelantan’. Entah pernah atau tidak penulis ini pergi melawat Kelantan saya pun tidak tahu. Pada saya, banyak pelaksanaan dan implementasi yang telah dilakukan oleh kerajaan Kelantan. Lihat saja iklan-iklan pada billboard di seluruh negeri Kelantan, kesemuanya menutup aurat. Baik iklan Celcom yang memaparkan wajah maya Karin bertudung lengkap selaku watak utama, hinggalah kepada iklan Digi yang menyelitkan gambar wanita bertudung, walaupun hanya sebagai watak sampingan (watak wanita tersebut kecil sahaja jika dinisbahkan dengan watak utama lelakinya). Tindakan kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang menutup aurat bagi muslim, dan berpakaian sopan bagi bukan muslim di Kota Bharu, juga bukti pelaksanaan hukum Islam. Ceramah-ceramah agama oleh tuk guru Nik Aziz sendiri pada setiap hari Jumaat adalah contoh pengkayaan ilmu yang cuba diterapkan oleh kerajaan Kelantan. Usahlah dituduh itu adalah ceramah politik, kerana itu hanya membuktikan bahawa mereka tidak pernah pergi pun ke ceramah tuk guru. Semua ini adalah bukti implementasi dan pelaksanaan yang saya tidak pernah nampak pun di Selangor (tempat saya belajar sekarang. Tentang negeri lain, saya tidak pasti dan tidak mahu bersangka buruk). Iklan menutup aurat? Ceramah agama oleh Menteri Besar Selangor setiap hari Jumaat? Heh (read:senyum sinis).

Kedua:

“Selepas berkuasa, mereka tidak akan menyebut atau merujuk lagi kepada janji manis dan harapan tinggi dalam manifesto. Jika hendak membina sebuah masjid pun disuruh rakyat menyediakan tanah dan wang, apa erti manifesto parti? Siapakah yang munafik?”

Saya tidak pasti dengan perihal “rakyat perlu menyediakan tanah dan wang sendiri untuk membina masjid”, samada ianya benar ataupun tidak. Saya belum pernah bertanyakan hal ini kepada kepimpinan kerajaan Kelantan sendiri. Iya, kerajaan Kelantan mengakui bahawa mereka tidak pernah membina masjid, cuma sekadar membaiki masjid-masjid sedia ada. Pada saya, kerajaan Kelantan mengambil pendekatan yang berbeza dalam kes ini. Tumpuan diberikan lebih kepada soal mengimarahkan masjid, memenuhkan masjid dengan jemaah (bukan setakat imam dan bilal serta AJK masjid) dan pengisian agama, dan bukannya kepada soal bilangan masjid yang dibina. Membina masjid pun memerlukan wang, jadi andaikata masjid sudah mencukupi, pendekatan yang seterusnya adalah memuliakannya dan mengimarahkannya. Betul kan? Sepanjang hidup saya di Kelantan selama ini, belum pernah saya mengalami masalah mencari masjid untuk bersolat. Datanglah ke Kelantan, rasai dan alamilah sendiri. Itu nasihat saya.

Ketiga:

“Yang kaya dan mewah tetap juga orang lain dalam negeri ditadbir orang Islam. Mereka membanjiri lot kedai dan komersial yang dibina tanpa menampakkan perubahan di kalangan pemilik dan peniaga Melayu.

Apakah yang sebenarnya berubah sesudah Kelantan berpindah daripada tangan Barisan Nasional (BN) ke tangan Pas sejak 18 tahun lalu? Apakah rakyat membangun bersama Islam? Yang jelas dan pasti membangun di Kelantan ialah ekonomi bukan Melayu. Bilangan mereka juga semakin meningkat.”

Ayat “yang kaya dan mewah tetap juga orang lain dalam negeri ditadbir orang Islam” ini cukup kelakar bagi saya. Bukankah ayat itu juga boleh diapply pada negara Malaysia sendiri. Malaysia juga dipimpin dan ditadbir oleh orang Islam. Pak lah orang Islam, Datuk Seri Najib pun orang Islam. Tapi, orang yang paling kaya di Malaysia ni orang Melayu ke? Kalau bukan Datuk Robert Kwok, yang merupakan taiko gula dan pemilik rangkaian hotel Shangri-la, mestilah taiko Maxis dan Astro, Datuk Ananda. Kalau ada pun orang melayu dalam senarai sepuluh orang terkaya di Malaysia pun hanyalah Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary, Pengerusi Yayasan Albukhary. Satu persepuluh bukanlah angka yang besar dalam kamus Matematik.

Saya tidak nafikan, semenjak pembinaan KB Mall, bilangan kaum bukan melayu yang berniaga di Kelantan semakin bertambah. Tapi, sekurang-kurangnya, penguasaan market dan perniagaan di Kelantan masih dimonopoli oleh orang melayu. Cuba lihat di sekitar KL, Selangor ataupun Pulau Pinang, senarionya jauh berbeza. Satu-satunya kedai milik orang melayu di KLCC yang mampu bertahan suatu ketika dahulu (ie Kelantan Delights) pun saya tak pasti ada lagi ke tidak. Entah-entah dah pupus! Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Elok jugaklah peribahasa ini dicipta, sebab ada juga kegunaannya.

Keempat:

“Sekiranya Kelantan tidak begitu mundur, ia akan menerima banyak perubahan daripada kegiatan pelbagai macam industri dan kegiatan ekonomi. Tetapi semua ini tidak akan terjadi kerana pemimpin Pas memilih untuk mundur.”

(Untuk bidasan ini, rujuk entry ‘Kelantan.....oh tanah airku.’)

Kelima:

“Pemimpin Pas pada hakikatnya bimbang akan kehilangan kerusi kerana kehilangan kerusi bermakna kehilangan pendapatan dan mata pencarian sebagai wakil rakyat. Tidak munafik jika mereka menggunakan agama dan ayat al-Quran untuk menang atau jika mereka memesong dan mengelirukan fikiran rakyat untuk mengekalkan kuasa.”

Ya Allah, senangnya mulut ini berkata-kata. Walaupun saya sendiri pernah melihat betapa besarnya mahligai-mahligai pemimpin politik BN, saya tetap tak berani untuk mengeluarkan kenyataan sebegini secara terbuka. Bimbang, kalau-kalau mereka benar-benar ikhlas, bukankah saya telah mengeluarkan fitnah. Andaikata ada seorang dua pemimpin Pas yang bertindak sebegitu, adalah tidak adil untuk menghukum kesemua pemimpin Pas sebagai taksub kuasa. Nasihat saya, datanglah sendiri ke Kelantan. Tengok sendiri rumah-rumah pemimpin Pas, dan cuba bandingkan dengan pemimpin BN yang lain. Entah-entah, rumah penulis artikel ini sendiri pun lebih besar berbanding rumah tuk guru Nik Aziz. Kalau tak kenal, saya boleh tolong bawakkan. Pulau Melaka tak jauh dengan rumah saya di Kubang Kerian. Lepas itu, fikir-fikirkanlah, siapa sebenarnya yang lebih takut kehilangan kuasa, pemimpin Pas ataupun BN.

Keenam:

“Mereka begitu taksub mengembang dan memperluaskan pengaruh politik kepartian daripada mimbar masjid. Apatah lagi apabila hujah khatib tidak dapat diserang balas oleh makmum yang mendapati pendapat mereka itu salah.”

Soalan saya, pernah tak si penulis ini datang mendengar khutbah di Kelantan? Kalau tak pernah, datang dulu dan dengar. Lepas tu, barulah keluarkan kenyataan yang betul. Saya yakin sesiapa sahaja yang pernah bersolat Jumaat di Kelantan, akan faham dengan apa yang cuba saya sampaikan ini.

Kesimpulan:

Inilah antara serba sedikit petikan artikel tersebut. Kalau nak dibidas semua, takkan habislah jawabnya. Apa yang termampu saya lakukan adalah untuk highlight seberapa banyak yang mungkin. Maafkan andaikata ada yang tidak setuju ataupun terkilan dengan penulisan saya kali ini. Perbezaan pendapat adalah fitrah. Terpulanglah kepada sesiapa yang ingin mendengar dan menerima. Bagi saya, ini tanggungjawab saya selaku rakyat Kelantan, untuk membela maruah negeri saya, kerana saya yakin, bukan semua orang berkesempatan datang dan merasai sendiri kehidupan di sini. Apa yang digambarkan dalam media, mungkin jauh terpesong dengan hakikat sebenar.

Pendapat peribadi saya, persoalan yang timbul bukanlah pada parti mana yang memerintah, tetapi parti mana yang memperjuangkan Islam. Andaikata BN memperjuangkan Islam sebenar-benarnya, maka saya tidak teragak-agak untuk memilih BN dan begitu juga sekiranya Pas tidak melaksanakan Islam, saya juga tidak akan membela Pas seperti yang saya lakukan kali ini. Saya bersangka baik pada kedua-dua parti, bahawa mereka mahu memperjuangkan Islam, baik BN dengan Islam Hadhari dan Pas dengan kepimpinan ulama’nya. Apalah hak saya untuk mempertikaikan niat dan keikhlasan mereka, sedangkan saya juga manusia biasa, yang sifatnya dan fitrahnya terbatas. Yang tinggal sekarang, hanyalah pembuktian dan pelaksanaannya. Itulah asas kepada penilaian saya, selaku manusia yang daif lagi hina serta terbatas.

Wallahu’lam.

No comments: