Wednesday, May 7, 2008

Kelantan....oh tanah airku

Bila terbaca tentang kenyataan pemimpin negara dalam surat khabar baru-baru ini, saya terfikir, apa sebenarnya takrifan “maju” pada pandangan mereka. Ini rentetan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin no. 2 Malaysia tentang kemajuan-kemajuan yang bakal dikecapi oleh rakyat Kelantan andaikata parti kerajaan memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Selaku rakyat Kelantan, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada berfikir tentang masa depan negeri saya. Iya, saya tak nafikan, Kelantan bukanlah semaju Kuala Lumpur, ataupun Selangor, ataupun Pulau Pinang. Tetapi, pada saya Kelantan tidaklah berbeza mana jika nak dibandingkan dengan Kedah, Perlis, ataupun Terengganu. Bahkan, pembangunan di Kelantan pun semakin pesat dan rancak sejak akhir-akhir ini. Bermula dengan pembinaan KB Mall, kemasukan rangkaian kedai serbaneka 7-11, pembinaan Kelantan Trade Center dan yang paling terbaru, pembinaan pusat membeli-belah TESCO yang bakal dibuka tidak lama lagi. Ini semua bukti bahawa Kelantan sedang membangun pada kadar yang sangat pesat, dan juga bukti betapa pelabur-pelabur berminat dengan potensi market yang ada di Kelantan.

Jadi, apa sebenarnya kayu ukur kemajuan yang dimaksudkan mereka? Itu persoalan yang perlu dijawab. Adakah dengan wujudnya banyak disco dan pub membuktikan bahawa sesebuah negeri itu maju? Ataupun bilamana masyarakatnya memakai pakaian yang terdedah sana, terdedah sini, macam orang tak cukup kain, baru kita katakan negeri itu maju? Ataupun bilamana rakyat sudah tidak saling hormat menghormati, hilang semangat kejiranan dan hanya mengejar kebendaan, itu petanda kemajuan?

Andaikata inilah kayu ukur kemajuan, maka saya rela Kelantan terus mundur untuk selamanya!

Pada saya, tidak salah untuk mengejar kemajuan. Bahkan, agama kita yakni agama Islam pun turut menuntut umatnya untuk menjadi umat yang maju. Tetapi, biarlah kemajuan iman,takwa dan akhlak masyarakat itu didahulukan berbanding kemajuan material. Itu tuntutan Islam. Maka, sudah pasti itulah yang perlu kita dahulukan. Tidak ada gunanya mempunyai negeri kelas pertama, tetapi didiami umat yang rohaninya kelas ketiga. Sama-samalah kita renungkan.

No comments: