Wednesday, May 7, 2008

Ukhuwah......

Ukhuwah yang sebenar adalah ukhuwah yang dibina atas dasar Islam. Yakni, semangat persaudaraan yang dibina atas dasar keimanan kepada Allah Yang Maha Esa, Tuhan sekalian alam. Itulah ukhuwah yang sejati! Firman Allah dalam surah Al-Hujurat Ayat 10:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat"

Dan juga hadith Rasulallah s.a.w. :

"Dan dua orang laki-laki yang saling mencintai kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah keranaNya"
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Teringat kata-kata Tuan Guru Nik Aziz dalam kaset ceramah beliau, bahawa Islam adalah titik pertemuan bangsa dan kaum. Islam lah yang menyatukan kita semua. Kerana Islam itu diciptakan untuk semua, untuk sekalian makhluk, sekalian alam. Bilamana kita memperjuangkan ukhuwah dan perpaduan atas dasar kaum, maka banyak masalah yang akan timbul. Kalau kita kata "Hidup Melayu", nanti orang Cina marah. Kalau kata "Hidup Cina", mungkin orang Melayu pulak yang marah. Tapi, kalau dilaungkan "Hidup Islam", maka nescaya orang Melayu-Muslim pun gembira, orang Cina-Muslim pun gembira, dan orang India-Muslim pun gembira.

Maka, mana mungkin kita mampu menyatukan setiap kaum-kaum ini melainkan melalui saluran Islam. Inilah saluran yang sebenar. Kita mulia kerana Islam itu Maha Mulia. Islam lah yang menaikkan martabat sesuatu kaum atau bangsa dan bukannya sebaliknya.

Ambil contoh sebagaimana ukhuwah Rasulallah s.a.w. dan para Sahabat. Subhanallah. Teramat indah. Terasa betapa hinanya diri kita kalau nak dibandingkan dengan mereka. Saya tahu kita tidak akan mampu mencapai ke tahap itu. Jika nak dibandingkan iman kita dan iman para sahabat, ibaratnya macam langit dan bumi. Teramat jauh. Kalau dengan Sahabat pun dah sebegitu jauh, apatah lagi jika dibandingkan iman kita dengan Rasulallah s.a.w. Tak dapat saya bayangkan. Tapi saya yakin, tak salah untuk kita menuju ke arah itu. Jadikan Rasulallah s.a.w dan para Sahabat sebagai role-model. Itu sebaik-baik contoh ikutan. Allah tidak melihat kepada hasil, samada kita berjaya mencapainya atau tidak, sebaliknya Allah melihat kepada usaha dan ikhtiar kita.

Kepada diri saya dan teman-teman, kita ambil iktibar bersama. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk menyampaikan semua ini, cuma sekadar berkongsi untuk kebaikan kita bersama. InsyaAllah, niatkan kerana Allah, mudahan diberkati.


No comments: