Wednesday, May 7, 2008

Dari Mimbar Jumaat 2

Oh yea, baru-baru ini saya berkesempatan bersolat jumaat di Masjid Pauh Sembilan, tak jauh dari Beris Kubur Besar. Selalunya, saya dan abah hanya bersolat jumaat di Masjid Kubang Kerian, sebab itu masjid yang terdekat dengan rumah kami.

Khutbah jumaat pada hari tu pada saya sangat menarik. Mungkin sebab kebetulan dengan Hari Pekerja, jadi khutbahnya berkisar tentang pekerja, amanah kerja dan lain-lain yang berkaitan. Saya tak pasti dengan khutbah di tempat lain. Mungkin intipati nya sama, mungkin juga lain. Tapi disebabkan faktor jenis pekerjaan penduduk di sini mungkin banyak berbeza daripada bandar, maka pendekatan dan cara penyampaiannya juga berbeza.

"Tuan-tuan jange ingat Hari Pekerja ni untuk oghe hok bekerja kerajaan jah...hok kejo swasta jah..kito hok duk nane sawoh atau pegho kambing ni pun bekerjo jugak...maka kita jugok adalah sebahagian daripada pekerja"
(Tuan-tuan jangan ingat Hari Pekerja ni utk orang yang bekerja kerajaan je..atau kerja swasta je...kita yang menanam di sawah atau bela kambing ni pun bekerja jugak..maka kita juga adalah sebahagian daripada pekerja)

Inilah antara perkara yang disampaikan dahulu oleh tuan khatib. Iya, mungkin bagi kita perkara ini remeh. Tapi saya tak rasa perkara ini tak penting. Ianya sangat penting untuk membetulkan persepsi orang kampung mengenai siapa golongan yang dinamakan "pekerja" ni. Sebabnya, bak kata tuan khatib haritu, Hari Pekerja ini adalah hari untuk menghargai usaha dan penat lelah pekerja selama ini. Maka penting untuk orang kampung semua ni, yang bekerja sebagai petani, pesawah, dan sebagainya untuk juga rasa dihargai. Untuk rasa bahawa diri mereka jugak memainkan peranan yang penting dalam negara.

Kalau tak ada pesawah, masakan ada orang yang nak menanam padi.

Kalau tak ada petani, siapa yang nak menanam sayur.

Nak harapkan golongan profesional? Saya tak rasa begitu.

Kerana itu, setiap pekerjaan adalah penting dan diperlukan selagi mana ianya kerja yang halal dan tidak bercanggah dengan Syariah.
Kita bekerja sebagai satu entiti yang sama, yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Khatib menyambung,

"kalu kito tok kijo jugak pun, ingatlah bahawa setiap satu daripado kito adalah pekerja kepada Allah"
(kalau kita tak bekerja sekalipun, ingatlah bahawa setiap satu daripada kita adalah pekerja kepada Allah)

Inilah intipati yang paling penting dalam khutbah pada haritu. Biar apapun pekerjaan kita, baik sebagai seorang jurutera, ataupun seorang manager, seorang cikgu ataupun hanya pengutip sampah, ingatlah bahawa kita semua adalah pekerja kepada Allah. Dan Allah bukan setakat majikan kita, kerana Allah adalah satu-satunya Tuhan kita, Pencipta kita dan juga Pemilik kita. Maka sebagai seorang pekerja kepada Allah, maka wajiblah ke atas diri kita untuk menjalankan segala yang diperintahkan Allah dengan sebaik mungkin. Menjalankan segala amanah yang Allah berikan kepada kita, sebagai khalifah di bumi Allah. Kita wajib untuk merasa takut pada Allah, dan menghambakan diri pada-Nya, kerana hanya Allah lah yang berhak ke atas kita.

Ingatlah, tiada gaji atau bonus yang lebih baik daripada keredhaan Allah.
Apalah sangat wang dan harta dunia, jika dibandingkan dengan syurga Allah. Renung-renungkan lah.

No comments: